Peristiwa itu masih segar diingatan. Walaupun sudah 10 tahun yang lalu. Aku mengambil posisi selesa lalu memalingkan wajahku ke arah luar jendela. Supaya memori itu aku dapat imbas semula dengan begitu jelas. Teh panas ku hirup sedikit. Fikiranku mula merentas ke masa lalu.
.......
Pagi itu aku dikejutkan oleh ibu , awal-awal pagi . Liat rasa nak bangun tapi diri ini harus gagahkan jua. Selepas mandi . Aku bersiap sarung baju sekolahku . Ibu membantu mendandankan rambutku . Aku menjamah sebiji karipap sebelum bergerak keluar dari rumah . Memandangkan hari ini hari pertama persekolahanku di sekolah rendah jadi ibu dan ayah menghantarkan aku ke sekolah. Mereka temankan aku sehingga semua murid darjah 1 diarahkan masuk ke kelas masing-masing. Aku sempat melambaikan tangan ke arah mereka sebelum mereka berlalu pergi.
Aku ditempatkan di kelas kedua iaitu kelas 1 Bijak. Aku berasa agak teruja kerana dapat kenalan baru. Guru kelasku juga amat sporting dan happening. Perwatakannya membuatkan beliau disenangi anak-anak muridnya.
Seorang guru telah masuk ke kelas dan memperkenalkan dirinya, Puan Hafizah sebagai guru Bahasa Melayu kami. Tugasan kami di hari pertama adalah dengan memberitahu cita-cita atau impian masing-masing. Rakan-rakan kelasku masing-masing bangga memberitahu cita-cita mereka . Seperti pelajar-pelajar lain, sememangnya kerjaya seperti doktor,peguam,pensyarah amatlah biasa didengar. Bagi mereka,kerjaya itu menggambarkan diri mereka sebagai seorang yang berjaya. Begitulah juga aku. Alah ! budak sekolah menengah pun kalau ditanya. memang ini lah kerjaya yang akan dijawab. Semua yang bagus-bagus.
Aku mendengar setiap seorang rakanku memberitahu tentang cita-cita mereka yang sememangnya sama sahaja. Sehingga lah soalan tu diajukan kepada rakan disebelahku.
" cit cit cita err cita-cita saya nak jadi pengutip sampah yang berjaya cikgu. "
Riak wajah Puan Hafizah mula berubah. Dahinya sedikit berkerut. Semua yang berada di kelas itu dengan serentak ketawa. Ketawa kerana mereka menganggap itu satu jenaka. Aku sedikit terkejut. Mata aku tidak lepas memandang wajah rakan baruku yang tidak sampai setengah hari aku kenal. Dia menundukkan wajahnya. Tudungnya yang sedikit ke depan telah menyembunyikan raut wajahnya sepenuhnya. Oleh itu aku tidak dapat meneka apa yang dia rasa ketika itu dengan menilik dari wajahnya. Aku nampak setitis air jernih menitik di meja. Barangkali itu air mata rakanku.Cikgu Hafizah dengan perasaan yang penuh tanda tanya dia bertanya Salina sebab mengapa kerjaya itu dipilih. Ya, gadis itu bernama Salina.Lalu dengan perlahan Salina mengangkat wajahnya.
" Saya nak jadi macam ayah saya. Ya. Walaupun dia hanya seorang tukang sapu dan pencuci. Tapi kalau bukan kerana dia, pasaraya tak bersih,tandas pun kotor. Saya nak bantu ayah saya cikgu. Sekarang, ramai yang fikir bahawa kerja pembersihan hanyalah untuk orang macam mereka. Jika, mereka buang sampah dalam tong sampah mereka anggap bahawa orang-orang macam ayah saya akan makan gaji buta. Tak de kerja. "
Salina mengesat air matanya.
" Lagipun ayah selalu cakap. Allah itu maha adil dan adil itu tak semestinya sama rata. Ayah cakap ayah adalah antara yang terpilih. Jika semuanya jutawan, siapa yang akan berdagang? Jika semuanya ingin merawat penyakit, siapa yang akan membela keadilan? dan jika semuanya kaya, tiadalah yang akan menderma kerana tiada yang fakir. Manusia akan jauh dari Tuhan kerana menganggap kekayaan itu satu kesempurnaan. Jadi,inilah keadilan yang Allah beri dan saya tahu itu jalan kebahagiaan cikgu. "
Aku terpaku mendengar kata-katanya. Budak yang baru berusia 7 tahun mampu berfikir sejauh itu. Sungguh luar biasa kerana kebiasaannya kanak-kanak seusiaku pada waktu itu hanya tahu patung Barbie dan Cinderella sahaja. Tubuh kecilnya terus dipeluk oleh Puan Hafizah dengan erat. Air jernih menitis lagi dan tidak disangka air mataku turut gugur juga. Hatiku amat tersentuh dengan kata-katanya. Rakan-rakan yang lain terpaku. Tiada tawa lagi kedengaran. Semua menganggap bahawa anak kecil bernama Salina itu seorang yang luar biasa. Butir bicaranya umpama hembusan pawana yang menusuk kalbu jiwa-jiwa yang mendengarnya. Bukan bicara yang membunuh tetapi memulih ruang kosong dengan memenuhi kata-kata sentapan yang menyedarkan si pemilik iman.
Andai aku dapat mengundur masa. Hendak saja aku berkenalan lebih rapat dengannya.
"Haih , entah di manalah Salina sekarang." Bermonolog ku sendiri.
Teh yang pada awalnya panas sudah sejuk. Aku menghabiskan sisa tegukan yang terakhir lalu bingkas bangun ke dapur.