~ cerpen ~
25 Januari 2013 . Jumaat yang sibuk . Kedua-dua jarum jam telah menunjukkan angka satu . Saya perlu bergegas ke masjid . Mudah-mudahan Allah masih memberi ruang untuk merebut saf pertama di sebelah kanan imam .
Saya memandu kereta melepasi pintu pagar utama SMKBS2 . Selepas memberi isyarat 'good' seperti biasa kepada pengawal keselamatan , saya berasa sangat terkejut apabila terlihat aksi di pondok telefon . Seorang murid lelaki menendang telefon awam beberapa kali . Bersusah payah dia menendang peti telefon itu kerana kedudukan yang agak tinggi , lebih kurang empat kaki dari permukaan tanah . Dalam keadaan biasa adalah amat sukar untuk berbuat begitu . Tambahan pula dengan saiz badannya yang kecil .
Perbuatan murid lelaki itu diperhatikan sahaja oleh dua orang murid perempuan . Semakin terkejut saya apabila melihat tingkah laku kedua-duanya . Mereka ketawa sahaja , seolah-olah memberi semangat kepada murid lelaki itu untuk terus menendang peti telefon itu .
Saya memberhentikan kereta . Saya melambai dan menganggukkan kepala memberi isyarat kepada murid lelaki itu supaya menghampiri saya . Dia akur .
" Ada masalah ke bang? " saya bertanya .
" saja je! "
Saya merenung mata murid tersebut dengan pandangan yang sedikit tajam .
" Ada masalah ke bang? "
Dia diam sambil menundukkan pandangan .
" Bang! Ada masalah ke? " saya bertanya dengan lebih tegas .
" Saya minta maaf cikgu! " Ada nada kesal yang diluahkannya .
" Saya tanya ni , ada masalah ke? "
" Saya minta maaf cikgu . Saya tak patut buat macam tu . Saya dah masukkan duit dan nak call ayah . Call tak dapat tapi duit tu kena telan! " jelasnya
" Berapa banyak duit kamu yang kena telan? " saya ingin tahu .
" 70 sen cikgu! "
AllahuAkbar!
Terlintas pada pemikiran saya . 'Takkan kerana 70 sen dia sanggup menendang peti telefon itu . Kos baik pulih akibat kerosakan itu nanti mungkin melebihi 70 sen!'
Segera saya membuka tempat simpanan syilling di bawah dashboard .
Saya mengambil segenggam duit syilling yang ada dan menyerahkan kepadanya .
" Apa ni cikgu? " katanya
" Ambillah sebagai ganti duit kamu yang kena telan . Semoga Allah mengampuni kita! "
Saya meninggalkan murid itu dan bersegera ke masjid .
Selesai solat Jumaat , dalam sujud yang panjang , teringat akan doa Nabi Adam a.s.
******************************************************************************************************************
Nukilan : PENGETUA SMKBS2
Sumber : Majalah Eksklusif SMKBS2 2013
No comments:
Post a Comment